DUNIA > BERITA

Noel Tata Dilantik Sebagai Pengerusi Tata Trusts India

11/10/2024 11:43 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 11 Okt (Bernama) -- Tata Trusts, cabang kedermawanan konglomerat Kumpulan Tata di India telah melantik Noel Tata, 67, sebagai pengerusi selepas kematian Ratan Tata.

Noel ialah saudara tiri kepada Ratan, yang meninggal dunia pada Rabu pada usia 86 tahun.

Para pemegang amanah pelbagai dana yang membentuk Tata Trusts mengadakan mesyuarat bersama di Mumbai, pangkalan kumpulan itu pada Jumaat dan mengambil keputusan untuk melantik Noel sebagai pengerusi pelbagai dana serta organisasi induk Tata Trusts.

Jawatan ini memberinya pengaruh besar ke atas empayar perniagaan yang luas, dengan 30 syarikatnya mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak US$165 bilion pada 2023-24 dan menggaji satu juta orang di India dan luar negara.

"Saya berasa sangat dihormati dan rendah hati dengan tanggungjawab yang diberikan oleh rakan Pemegang Amanah. Saya berharap dapat meneruskan legasi Encik Ratan N. Tata dan Pengasas Kumpulan Tata," kata Noel dalam satu kenyataan.

Tata Trusts mempunyai 66 peratus kepentingan dalam Tata Sons, syarikat induk Kumpulan Tata, yang menjalankan perniagaan dalam sektor seperti keluli, kuasa, automotif, pertahanan, telekomunikasi, hotel, penerbangan dan menghasilkan pelbagai produk pengguna runcit seperti garam, teh, air botol dan barang kemas.

Modal pasaran 26 syarikat tersenarai awam Kumpulan Tata bernilai US$365 bilion setakat 31 Mac 2024.

Ratan, seorang daripada pemimpin korporat yang paling dihormati di India, menerajui Kumpulan Tata selama 21 tahun sehingga 2012, tidak pernah berkahwin dan meninggalkan Noel, dua saudara tiri perempuan serta seorang saudara lelaki.

Noel ialah anak kepada Naval Tata daripada perkahwinan keduanya.

Isteri Noel, Aloo Mistry, merupakan anak perempuan kepada mendiang jutawan Pallonji Mistry.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan