DUNIA > BERITA

HSN 2024 : Rakyat Malaysia Di Berlin Sertai Kejohanan Rentap Ke-15

12/10/2024 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Melangkaui sempadan dan jauh dari tanah air, Kedutaan Malaysia di Berlin menyambut Hari Sukan Negara (HSN) 2024 dengan pelbagai aktiviti meriah, termasuk kejohanan tahunan RENTAP.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Berlin berkata Kejohanan RENTAP ke-15 tahun ini yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Frankfurt, MARA Frankfurt dan Persatuan Pelajar Malaysia-Jerman (MGSS) pada 5 hingga 6 Oktober di Halle bertujuan memupuk semangat kesukanan dan kebersamaan dalam kalangan pelajar Malaysia di Jerman. 

Kira-kira 350 pelajar dan pegawai mengambil bahagian, menyertai pelbagai jenis sukan dan menikmati sajian Bazar Makanan Malaysia, yang mewujudkan suasana penuh kemesraan meskipun cuaca sejuk.

"Pertandingan ini berfungsi sebagai tempat pelajar Malaysia bersatu padu dan memupuk persahabatan serta menggalakkan pertukaran budaya melalui sukan. Ia membantu mengekalkan semangat kemasyarakatan dan menggalakkan persaingan yang sihat. Antara sukan yang dimainkan setiap tahun ialah bola sepak, badminton, bola tampar, frisbee dan acara olahraga," menurut kenyataan itu.

Kejohanan itu terutamanya ditujukan kepada pelajar Malaysia yang belajar di universiti Jerman, tetapi ia juga terbuka kepada pelajar antarabangsa lain atau penduduk tempatan yang ingin mengambil bahagian, tambahnya.

Kedutaan menyatakan bahawa Bazar Makanan Malaysia turut diadakan pada RENTAP 2024 yang menyumbang kepada suasana perayaan dan memuaskan kerinduan pelajar terhadap makanan Malaysia.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dalam ucapannya menekankan bahawa acara itu menunjukkan langkah berterusan untuk membangunkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan yang berfungsi sebagai saluran untuk mengukuhkan kualiti seperti disiplin, kerjasama, persaingan sihat dan semangat kesukanan yang baik.

Selain Kejohanan RENTAP, kedutaan berkata aktiviti sukan diteruskan pada pertengahan minggu dengan pegawainya mengambil bahagian dalam Kejohanan Boling ASEAN yang dianjurkan di bawah naungan Jawatankuasa ASEAN Berlin pada 10 Okt dengan 100 peserta dari 10 negara ASEAN. Program diakhiri dengan acara jalan santai yang menyeronokkan oleh pegawai Kedutaan pada 11 Oktober.

Aktiviti sukan ini menyediakan platform untuk berkumpul dan berinteraksi serta mengeratkan hubungan sosial dan perpaduan antara rakyat Malaysia dan pelajar di luar negara serta rakan sekerja ASEAN. Di samping itu, aktiviti itu memupuk budaya sukan dan gaya hidup sihat di antara mereka, tambahnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan