DUNIA > BERITA

Jumlah Kematian Akibat Serangan Berterusan Israel Di Gaza Hampir 43,400 Orang

05/11/2024 12:08 AM

ANKARA, 4 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 33 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak tahun lepas kepada 43,374 orang, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Isnin.

Menurut Agensi Anadolu, seramai 102,261 orang lagi cedera dalam serangan yang masih berlangsung.

Kementerian itu berkata ramai masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan-jalan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke tempat mereka.

Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak tahun lepas, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera.

Serangan berterusan menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan, yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Usaha pengantaraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas gagal berikutan keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menghentikan serangan.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan