DUNIA > BERITA

Indonesia Tegaskan Sokongan Bagi Akauntabiliti Di Palestin Berikutan Waran Tangkap ICC

23/11/2024 06:29 PM

JAKARTA, 23 Nov (Bernama) -- Indonesia menegaskan semula sokongannya terhadap segala inisiatif yang bertujuan memastikan akuntabiliti untuk jenayah yang dilakukan oleh Israel di Palestin, termasuk yang diusahakan melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kementerian Luar Indonesia menyatakan bahawa pengeluaran waran tangkap ICC terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant merupakan langkah penting menuju keadilan bagi jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Palestin.

“Dalam hal ini, Indonesia menegaskan waran tangkap ini mesti dilaksanakan sepenuhnya mengikut undang-undang antarabangsa,” menurut kementerian itu melalui akaun X pada Sabtu.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa Indonesia percaya tindakan sedemikian adalah penting untuk mengakhiri pendudukan haram Israel terhadap wilayah Palestin dan memajukan penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas, selaras dengan prinsip Penyelesaian Dua Negara.

ICC mengeluarkan waran tangkap pada Khamis terhadap Netanyahu dan Gallant, mendakwa mereka terlibat dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan sejak sekurang-kurangnya 8 Oktober 2023 hingga sekurang-kurangnya 20 Mei 2024.

Dalam perkembangan lain, Indonesia mengesahkan sokongannya terhadap Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), menurut jurucakap Kementerian Luar Indonesia Rolliansyah Soemirat.

Beliau menyatakan dalam kenyataan berasingan, bahawa Indonesia kekal komited terhadap UNIFIL dan mengesahkan bahawa negara itu merupakan penyumbang tentera terbesar kepada UNIFIL dengan 1,230 anggota.

“Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan kekal bertugas di semua posisi,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa pengaman Indonesia yang berada dalam keadaan baik terus berkhidmat di bawah Komander Pasukan UNIFIL.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan