NEW YORK, 11 Dis (Bernama-WAFA) -- Skala penderitaan yang disaksikan di Gaza sejak setahun lalu telah menggugat kepercayaan orang ramai terhadap hak asasi manusia, kata Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
“Hak yang dinafikan kepada penduduk Gaza adalah hak yang sama untuk melindungi kita semua. Kita semua mempunyai kepentingan di Gaza,” menurut UNRWA dalam satu kenyataan sempena Hari Hak Asasi Manusia yang disambut setiap tahun pada 10 Disember.
Menurut UNRWA, hak asasi manusia sejagat adalah jaminan terbaik untuk dunia di mana semua individu boleh hidup dengan maruah, keselamatan, kesaksamaan dan kebebasan.
“Kita semua mempunyai kepentingan dalam melindungi dan memajukan hak asasi manusia. Kita semua mempunyai kepentingan dalam membina masa depan di mana penghormatan terhadap hak asasi manusia, maruah dan akauntabiliti tidak ditangguhkan tetapi dilaksanakan,” menurut agensi bantuan PBB itu.
UNRWA dalam hantaran terdahulu di platform X menyatakan bahawa hak untuk keselamatan, maruah, kebebasan daripada keganasan dan pemindahan secara paksa, serta akses kepada makanan, air, sanitasi, pakaian, dan tempat tinggal yang mencukupi bukanlah keistimewaan tetapi hak yang dinafikan kepada rakyat Palestin di Gaza.
UNRWA turut mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera di gaza.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial