JAKARTA, 11 Dis (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyasarkan ketibaan 609,000 pelancong dari Indonesia ke Sarawak pada tahun depan, didorong oleh daya tarikan gabungan unik budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, dan perayaan yang ditawarkan.
Pengarah Pemasaran Domestik dan ASEAN STB, Barbara Benjamin Atan berkata pihaknya menyasarkan 580,000 pelancong Indonesia tahun ini, dengan Sarawak menerima 540,000 pelancong setakat Oktober lalu.
"Kami giat mempromosikan kempen baharu, 'Gateway to Borneo', yang bertujuan menyerlahkan keunikan dan pengalaman unik negeri ini," katanya pada sesi taklimat media di Jakarta Barat, Rabu.
Kempen itu dianjurkan dengan kerjasama Tourism Malaysia Jakarta dan AirAsia, selain kerjasama rapat dengan Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASTINDO) dan Persatuan Pengusaha Pelancongan dan Perjalanan Indonesia (ASITA).
Barbara menjelaskan matlamat utama kempen itu adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama bersama Brunei, Sabah (Malaysia), dan Kalimantan (Indonesia).
"Pelancong boleh memulakan perjalanan mereka di ibu negeri Sarawak, Kuching, sebelum meneroka destinasi lain di seluruh Sarawak dan Pulau Borneo," katanya.
Sarawak dikenali dengan kepelbagaian etnik yang unik, melibatkan 34 kumpulan etnik, masing-masing dengan budaya tersendiri.
Selain itu, Sarawak juga memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi.
Beliau turut berkata bahawa terdapat penerbangan terus ke beberapa bandar di Sarawak seperti Kuching, Miri, dan Bintulu dari bandar-bandar seperti Jakarta, Brunei, Singapura dan terutama sekali Kuala Lumpur.
"Saya berharap AirAsia dan syarikat penerbangan lain akan memperkenalkan laluan baharu, yang akan meningkatkan kebolehcapaian dan menarik lebih ramai pelawat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Sarawak AirAsia Bhd Hamdan Mohamad berkata syarikat penerbangan itu merancang untuk melancarkan laluan baharu dari Kalimantan dan sebuah bandar di Jawa.
"Perbincangan masih dijalankan, tetapi kami akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja keputusan dimuktamadkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial