DUNIA > BERITA

PERDANA MENTERI BAHARU PERANCIS DIJANGKA DIUMUMKAN PADA JUMAAT

13/12/2024 12:37 PM

PARIS, 13 Dis (Bernama-dpa) -- Pejabat Presiden Emmanuel Macron mengesahkan bahawa Perdana Menteri baharu Perancis akan diumumkan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Pengumuman ini dibuat lebih seminggu selepas kejatuhan kerajaan yang dipimpin Michel Barnier, dengan Macron dijangka memilih tokoh yang mampu menyatukan pelbagai pihak, meskipun laporan media menunjukkan tiada calon utama yang menonjol.

Nama François Bayrou, 73, ahli politik berhaluan tengah-kanan, kerap disebut oleh penganalisis selepas Macron mengadakan rundingan dengan semua parti kecuali kumpulan sayap kiri dan kanan ekstrem dalam usaha membentuk kerajaan yang lebih inklusif.

Bagaimanapun, sekiranya Bayrou dipilih, timbul persoalan sama ada beliau mampu membentuk majoriti yang stabil untuk mentadbir, memandangkan beliau mungkin menghadapi cabaran sama seperti Barnier.

Selain Bayrou, beberapa nama lain turut disebut termasuk bekas Perdana Menteri Bernard Cazeneuve, bekas Menteri Pertahanan Sébastien Lecornu, dan bekas Menteri Pengagihan Catherine Vautrin.

Barnier sebelum ini disingkirkan oleh pembangkang selepas hanya tiga bulan memegang jawatan, berikutan pertikaian mengenai belanjawan berjimat cermat.

Macron kini berdepan tekanan berikutan kejatuhan kerajaan selepas pilihan raya awal yang membawa padah. 

Parti pembangkang bahkan menuntut Macron meletak jawatan di tengah-tengah krisis politik dan ekonomi, dengan belanjawan 2025 masih belum diluluskan oleh Parlimen. 

-- BERNAMA-dpa 



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan