DUNIA > BERITA

MALAYSIA SUMBANG KHEMAH, PEMANAS KEPADA PUSAT ISLAM WINDHOEK DI NAMIBIA

14/12/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Malaysia pada Jumaat menyumbangkan khemah besar berbumbung dan empat pemanas gas bernilai RM20,000 (NAD 80,000) kepada Pusat Islam Windhoek (WIC) di Namibia. Sumbangan ini bertujuan membantu masyarakat minoriti Muslim di negara itu.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata sumbangan itu direalisasikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) susulan lawatan khas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi pegawai MAIPs dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Penyerahan sumbangan dilakukan sejurus selepas solat Jumaat di Pusat Islam Windhoek yang disaksikan kira-kira 400 jemaah Muslim termasuk anggota kor diplomatik dari Indonesia, Ghana dan Algeria," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Rameez secara rasmi menyerahkan barangan sumbangan itu kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Islam Windhoek Salmaan Dhameer Jacobs di pusat itu.

Sumbangan berkenaan melambangkan kerjasama dan kolaborasi yang diusahakan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek untuk manfaat semua rakyat Namibia tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.

Ia juga menonjolkan falsafah Malaysia MADANI di peringkat antarabangsa.

Mohamad Rameez berharap khemah berbumbung yang mampu menampung sehingga 500 orang itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan umat Islam di Namibia menunaikan solat dengan selesa, terutamanya pada musim sejuk apabila suhu boleh mencecah -10 darjah Celsius dan apabila solat Hari Raya terpaksa diadakan di padang bola yang beku bagi menampung jumlah jemaah yang ramai.

Beliau menambah semasa lawatan Tuanku Syed Faizuddin ke WIC pada Julai lepas, Raja Muda Perlis telah berjanji bahawa MAIPs juga akan menyediakan sumbangan kewangan untuk menampung perbelanjaan operasi masjid di Namibia, 15 biasiswa kepada 15 pelajar Muslim Namibia untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Ugama Islam Perlis (KUIP) serta dana untuk operasi dapur sup solat Jumaat bagi golongan memerlukan.

Inisiatif ini dijangka dilaksanakan pada Januari 2025, katanya.

Sementara itu, Jacobs menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan itu, sambil menambah bahawa khemah berkenaan akan membolehkan pusat itu menganjurkan acara keagamaan dan mungkin turut menjana pendapatan melalui perkhidmatan penyewaan.

Dianggarkan terdapat kira-kira 80,000 umat Islam daripada tiga juta penduduk di Namibia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan