KUALA LUMPUR, 17 Jan (WAM-Bernama) -- Nilai pasaran kopi global dijangka meningkat sehingga 20 peratus pada 2025, didorong oleh perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan keperluan untuk inovasi dalam rantaian bekalan, menurut tiga pakar industri kopi.
Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan pandangan daripada Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Multi Commodities Centre (DMCC), Ahmed Bin Sulayem; Ketua Pegawai Eksekutif Specialty Coffee Association (SCA) UAE Chapter, Khalid Al Mulla dan Pengarah Pameran World of Coffee Dubai, Shouq Bin Redha.
Di tengah-tengah perkembangan ini, acara World of Coffee Dubai 2025 akan berlangsung dari 10 hingga 12 Februari di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Dengan pasaran kopi di Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) diunjurkan mencecah US$11.5 bilion pada 2025, acara itu menyerlahkan kepentingan rantau berkenaan yang semakin meningkat dalam perdagangan kopi global.
Pameran tahun ini akan mempamerkan trend dan inovasi, termasuk lelongan kopi khas DMCC yang julung kali diadakan, menampilkan biji kopi paling jarang ditemui di dunia.
Harga kopi menyaksikan peningkatan yang ketara dengan harga biji kopi Arabica mencapai rekod tertinggi di pasaran komoditi global pada Disember. Harga biji kopi Robusta pula meningkat hampir dua kali ganda pada 2024, mencecah US$5,694 setiap tan metrik pada penghujung November.
Harga untuk biji kopi Arabica berkualiti tinggi melonjak lebih 89 peratus dalam tempoh setahun, mencerminkan tekanan yang semakin meningkat ke atas pengeluar dan pengguna.
Rantau MENA terus muncul sebagai pemain utama dalam perdagangan kopi global, disokong oleh acara seperti World of Coffee Dubai. Pasaran kedai kopi berjenama di rantau ini berkembang sebanyak 11 peratus pada 2024, dengan Arab Saudi mendahului, menyumbang 46 peratus daripada keseluruhan kedai.
“Rantau MENA sedang mentakrifkan semula landskap kopi global dengan menggabungkan warisan budaya yang kaya dan visi berani untuk inovasi kopi khas,” kata Sulayem.
Kemajuan teknologi telah mengubah industri kopi, termasuk automasi dalam pembuatan kopi, pemantauan tanaman masa nyata dan teknologi blockchain untuk mengesan biji kopi.
Pilihan kopi yang memfokuskan kesihatan semakin popular, dengan permintaan meningkat terhadap bahan berfungsi seperti adaptogen, kolagen, antioksidan dan "nootropic".
Al Mulla menyatakan hampir separuh daripada peminum kopi kini mencari produk yang menawarkan manfaat kesihatan otak, anti-radang atau probiotik.
Kopi sejuk dan "nitro" semakin mendapat tempat dan dijangka menjadi menu utama di kedai kopi menjelang 2025.
“Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk budaya kafe dan kedai kopi di negara seperti UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait,” katanya.
Jenama bertindak balas terhadap permintaan pengguna untuk pengalaman kopi yang diperibadikan dengan menawarkan pilihan yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa dan keutamaan pemakanan individu.
Kemampanan kekal sebagai fokus utama, dengan jenama semakin mengamalkan amalan mesra alam seperti “pembungkusan boleh kompos” dan pensijilan pihak ketiga.
“Kemampanan bukan lagi pilihan – ia adalah jangkaan. Jenama yang menyesuaikan diri akan menerajui masa depan industri kopi,” kata Redha.
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial