DUNIA > BERITA

Bernama, Anadolu Ajansi Tandatangan MoU Perluas Perspektif Hal Ehwal Global - Yuksel

25/02/2025 02:47 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Anadolu Ajansi dari Turkiye baru-baru ini akan memberikan audiens pandangan yang lebih luas mengenai kedua-dua negara serta hal-ehwal antarabangsa. 

“Kami percaya bahawa terdapat potensi besar dan bernilai untuk kerjasama dengan Malaysia dalam bidang memerangi maklumat salah, baik secara dua hala mahupun di platform antarabangsa,” kata Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel dalam satu kenyataan bertulis kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada Selasa. 

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia baru-baru ini. 

“Kami menganggap MoU ini sebagai peluang penting untuk merealisasikan potensi dengan menyediakan maklumat yang berfakta dan tidak berat sebelah.

“Kerjasama tidak hanya terhad kepada institusi, pakar, pegawai berita atau wartawan, tetapi juga akan menjadi medium untuk merapatkan masyarakat kita,” katanya. 

Yuksel berkata, selain menyediakan sokongan teknikal dalam kewartawanan, MoU terbabit meletakkan asas untuk penghasilan bersama dan penyelidikan kolaboratif, dengan kedua-dua agensi dapat bekerjasama dalam menghasilkan program dalam pelbagai bidang. 

“MoU ini juga meletakkan asas untuk memperkukuhkan kerjasama pertukaran berita antara Anadolu Ajansi dan Bernama dengan pelbagai program latihan, pertukaran dan bengkel,” katanya. 

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Anadolu Ajansi Serdar Karagoz, sambil disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan di Putrajaya pada 11 Feb. 

Perjanjian itu mengukuhkan perkongsian kerjasama media antara Bernama dan Anadolu yang pertama kali diwujudkan pada 2015. 

Ia juga membolehkan pertukaran berita antara kedua-dua agensi sehingga 150 artikel, 30 foto, dan 30 video sebulan, menyediakan aliran maklumat yang lebih kaya dan pelbagai. 

Perjanjian turut merangkumi latihan bersama wartawan, inisiatif perkongsian pengetahuan, dan kerjasama media yang bertujuan untuk meningkatkan piawaian profesional dan laporan beretika. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan