DUNIA > BERITA

Presiden Trump Ucap Selamat Menyambut Ramadan 

05/03/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyampaikan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di AS dan seluruh dunia. 

Dalam mesejnya yang diterbitkan di laman sesawang Rumah Putih pada Isnin, Trump menyifatkan Ramadan sebagai bulan suci yang menggalakkan amalan berpuasa, beribadah dan muhasabah, sekali gus memberi inspirasi untuk menjalani kehidupan penuh keimanan dan kebaikan. 

“Ketika jutaan Muslim Amerika memulakan ibadah Ramadan, pentadbiran saya terus komited untuk mempertahankan kebebasan beragama yang menjadi sebahagian penting dalam cara hidup rakyat Amerika.

“Lebih daripada itu, kami memperbaharui tekad untuk membina masa depan yang aman serta menghormati maruah setiap insan. 

“Sempena Ramadan ini, saya mengucapkan selamat menjalani bulan penuh keberkatan dan moga memperoleh kasih sayang serta rahmat-Nya yang tiada batas. Semoga Tuhan memberkati anda dan keluarga sepanjang musim yang indah ini,” katanya. 

Ucapan itu turut dikongsi oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi laman sesawang rasminya. 

Umat Islam di seluruh dunia mula berpuasa pada hujung minggu lalu, dengan kebanyakan negara seperti AS, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Turkiye bermula pada Sabtu, manakala Malaysia, India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka memulakan ibadah puasa pada Ahad. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan