WASHINGTON, 11 Mac (Bernama-dpa) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengumumkan pemotongan besar-besaran projek yang dikendalikan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID).
“Selepas kajian selama enam minggu, kami secara rasmi membatalkan 83 peratus program di USAID,” tulis Rubio di akaun peribadinya di X pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.
Presiden Donald Trump sebelum ini mengarahkan Rubio untuk mengurangkan peruntukan USAID dan dana pembangunan antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi "America First", serta menggabungkan agensi itu ke dalam Jabatan Negara.
Daripada kira-kira 6,200 projek yang dibiayai USAID, hanya sekitar 1,000 akan diteruskan, kini di bawah seliaan Jabatan Negara.
Namun, Rubio tidak menjelaskan secara terperinci projek yang akan diteruskan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa DOGE (Jabatan Kecekapan Kerajaan), yang diketuai oleh jutawan teknologi Elon Musk kerana memainkan peranan dalam usaha penjimatan kerajaan.
Walaupun Rubio menegaskan pemansuhan projek USAID dilakukan dengan perbincangan bersama Kongres, masih belum jelas sejauh mana peranan sebenar pihak perundangan dalam keputusan ini.
Terdapat pertikaian sama ada kerajaan boleh membubarkan USAID tanpa persetujuan jelas daripada Kongres.
Kesan pemotongan ini terhadap pertikaian undang-undang sedia ada mengenai pembekuan dana bantuan juga masih tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, organisasi bantuan antarabangsa memberi amaran bahawa pemotongan besar boleh membawa kesan drastik, dengan kehilangan sokongan AS berpotensi menyebabkan puluhan ribu orang di seluruh dunia berdepan situasi kritikal.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial