DUNIA > BERITA

Duterte Ditahan Polis Susulan Waran Tangkap ICC

11/03/2025 01:23 PM

MANILA, 11 Mac (Bernama-PNA) -- Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte kini dalam tahanan polis selepas tiba di Manila pada Selasa, berikutan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor Agensi Berita Filipina (PNA). 

Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) dalam satu kenyataan memaklumkan waran tangkap itu diterima oleh Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) Manila daripada ICC awal pagi Selasa. 

Duterte tiba di Filipina pada jam 9.20 pagi waktu tempatan dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific CX 907 dari Hong Kong.

Sebaik tiba, Pendakwa Raya menyerahkan pemberitahuan rasmi ICC yang mengesahkan waran tangkap terhadapnya, menurut PCO.

Bekas presiden berusia 79 tahun itu berdepan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di ICC berhubung kempen perang dadah berdarah semasa pemerintahannya. 

PCO memberi jaminan bahawa Duterte berada dalam keadaan sihat dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba. 

"Bekas presiden dan pasukannya berada dalam keadaan baik serta telah diperiksa oleh doktor kerajaan," menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan ketelusan operasi, pegawai polis Filipina yang melaksanakan waran tangkap dilengkapi kamera badan, kata PCO. 

Kerajaan sebelum ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan siasatan ICC terhadap Duterte, namun menyatakan bahawa negara tetap terikat dengan kewajipannya kepada Interpol. 

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan