DUNIA > BERITA

ICJ Adakan Pendengaran Awam Berkaitan Kewajipan Israel Di Wilayah Palestin Yang Diduduki

13/03/2025 01:14 PM

GENEVA, 13 Mac (Bernama-Anadolu) -- Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengadakan sesi pendengaran awam bulan depan bagi membincangkan kewajipan Israel terhadap rakyat Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, ICJ memaklumkan bahawa pihaknya menerima 45 kenyataan bertulis daripada negara-negara dan organisasi antarabangsa sebagai sebahagian daripada prosiding penasihat mengenai tanggungjawab Israel terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan antarabangsa lain, serta pihak ketiga di wilayah Palestin yang diduduki.

Isu ini akan dibincangkan dalam sesi pendengaran awam akan datang.

“Mahkamah akan mengadakan pendengaran awam yang dijadualkan bermula Isnin, 28 April 2025, di Peace Palace, The Hague, ibu pejabat ICJ,” menurut kenyataan ICJ.

Prosiding itu dimulakan susulan permintaan untuk mendapatkan pendapat penasihat yang menarik penyertaan pelbagai negara serta entiti antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, kesemua dokumen berkenaan telah dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan arahan Presiden ICJ pada 23 Dis lalu.

Senarai penyumbang merangkumi negara dari pelbagai benua termasuk Chile, Malaysia, Rusia, Turkiye, Pakistan, Qatar, Sepanyol, Afrika Selatan, Ireland, Arab Saudi, China, Belanda, Brazil, Mesir, Israel, Perancis, Amerika Syarikat dan Palestin.

Beberapa organisasi antarabangsa utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab turut mengemukakan pandangan mereka, menurut kenyataan itu lagi.

Selaras dengan Artikel 106 peraturan ICJ, kenyataan bertulis tersebut boleh didedahkan kepada umum sebaik sahaja prosiding lisan bermula.

Dalam masa yang sama, Israel turut berdepan kes genosid di ICJ berhubung perang di Gaza yang meragut kira-kira 50,000 nyawa rakyat Palestin dan menghancurkan sebahagian besar wilayah itu sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan