DUNIA > BERITA

Forum Keagamaan IKIM Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

19/06/2025 08:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Jun (Bernama) -- Lima belas organisasi pelbagai agama menyertai forum keagamaan di Jakarta pada Rabu, dengan matlamat membina hubungan erat antara cendekiawan sekali gus memupuk hubungan harmoni antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memaklumkan Forum Bicara Ad-Din, program ikonik terbitan stesen radio IKIM, IKIMfm, dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia bertemakan, “Membangun Negara Madani: Fiqh Nusantara dan Inspirasi Piagam Madinah.”

Piagam Madinah, juga dikenali sebagai Perlembagaan Madinah, digubal oleh Nabi Muhammad SAW tidak lama selepas peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah pada 622 Masihi serta menjadi asas pembentukan masyarakat madani yang inklusif dan saling menghormati.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menyifatkan program tersebut sebagai langkah positif dalam memperkukuh hubungan antara dua negara serumpun yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Dalam konteks masyarakat Malaysia, program ini membuka ruang untuk memahami keunikan dan perbezaan antara Malaysia dan Indonesia. Meskipun sering dilihat serupa, kedua-dua negara mempunyai identiti tersendiri yang wajar dipelajari dan diadaptasi,” katanya.

Ketua Pengarah IKIM Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil menjelaskan forum ini menekankan kepada pendekatan kesederhanaan dalam kehidupan demi mewujudkan suasana aman dan damai, berteraskan konsep Fiqh Ta’ayush iaitu prinsip hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

“Forum ini turut mengupas kepentingan menjadikan Piagam Madinah sebagai sumber inspirasi dalam membentuk masyarakat yang harmoni walaupun berbeza latar belakang budaya dan kepercayaan,” katanya.

Ahli panel terdiri daripada Timbalan Ketua Umum Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU) Zulfa Mustofa, Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bidang Hubungan Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Sudarnoto Abdul Hakim dan Mohamad Azam.

Antara organisasi agama yang hadir ialah MUI, NU, Muhammadiyah, Parisada Hindu Dharma Indonesia, Keuskupan Agung Jakarta, Sangha Theravada Indonesia, dan Majlis Tinggi Agama Khonghucu.

Mohamad Azam memaklumkan IKIM merancang untuk meneruskan kerjasama seumpama ini pada masa hadapan, termasuk menganjurkan pertemuan tokoh cendekiawan terkemuka dari kedua-dua negara bagi membincangkan gagasan bersama yang menyentuh aspek budaya, agama dan keharmonian serantau.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan besar tokoh intelektual Indonesia yang telah memberi impak mendalam kepada wacana pemikiran Islam di Malaysia, termasuk Allahyarham Buya Hamka, seorang ulama dan pemikir Islam moderat, serta Allahyarham Mohammad Natsir, seorang ulama dan negarawan berpengaruh.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan