DUNIA > BERITA

Kedutaan Malaysia Siasat Dakwaan Seorang Warganegara Terlibat Insiden Feri Karam

06/07/2025 12:39 PM

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat mengenai kemungkinan penglibatan seorang warganegara Malaysia dalam insiden feri karam di Selat Bali.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa-mangsa yang terlibat.

“Kedutaan telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia sejak awal lagi dan pada mulanya dimaklumkan bahawa tiada warganegara Malaysia terlibat dalam insiden itu.

“Namun, berikutan laporan terbaharu yang menunjukkan kemungkinan terdapat seorang rakyat Malaysia antara mangsa, pihak Kedutaan sedang giat bekerjasama dengan Jabatan Konsular Kementerian dan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa selagi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, Kedutaan akan terus menjalin hubungan rapat dan berterusan dengan semua agensi berkaitan.

Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jl. H.R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1–3, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia melalui talian +6281380813036 atau emel [mwjakarta@kln.gov.my](mailto:mwjakarta@kln.gov.my). 

Mereka juga boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +62361751953.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa sebuah feri yang membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan karam di Selat Bali lewat malam Rabu ketika dalam perjalanan dari Jawa Timur ke Bali.

Setakat 5 Julai, sekurang-kurangnya enam maut, 29 masih hilang manakala 30 yang lain berjaya diselamatkan, menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan