BANYUWANGI (Jawa Timur), 12 Julai (Bernama-ANTARA) -- Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) pada petang Jumaat mengumumkan lanjutan kali kedua bagi operasi mencari mangsa tragedi feri Tunu Pratama Jaya yang karam pada 2 Julai lalu, lapor Agensi Berita ANTARA.
Basarnas memutuskan untuk melanjutkan tempoh pencarian atas sebab kemanusiaan sehingga Isnin, 14 Julai ekoran lanjutan pertama yang tamat pada 11 Julai, menurut pegawai kanan agensi berkenaan.
Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Basarnas, Ribut Eko Suyanto berkata pihaknya akan membuat penilaian semula selepas itu bagi menentukan sama ada pencarian perlu dilanjutkan.
Dalam operasi pada Jumaat, dua lagi mayat ditemukan di perairan selatan Pulau Bali, berhampiran lokasi kejadian.
Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Umum Daerah Blambangan di Banyuwangi, Jawa Timur untuk proses pengecaman dan pengesahan identiti.
Setakat petang Jumaat, iaitu hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat, jumlah korban meningkat kepada 17 orang, manakala 30 disahkan terselamat dan 18 lagi masih hilang.
Penyelaras tempatan pasukan SAR, Wahyu Setia Budi sebelum ini memaklumkan bahawa feri itu membawa 53 penumpang, 12 kru dan 22 kenderaan ketika berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi pada 2 Julai 2025, 10.56 malam waktu tempatan.
Feri berkenaan karam ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali, kira-kira 11.35 malam pada hari sama.
Susulan tragedi itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan semua agensi kerajaan berkaitan tidak berputus asa dan meneruskan segala usaha menyelamatkan baki penumpang dan kru feri yang masih hilang.
-- BERNAMA-ANTARA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial