Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 19 Julai (Bernama) -- Seminar Bersama ke-10 dan Sukan Perkhidmatan Awam ke-41 antara Malaysia dan Singapura yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai di Singapura terus menjadi platform memperkukuh hubungan perkhidmatan awam kedua-dua negara.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata program itu yang kembali diadakan selepas pandemik COVID-19, secara tradisinya dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Singapura.
Antara lain, kata beliau, program kali ini membincangkan usaha mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam untuk manfaat bersama.
“Kali terakhir diadakan pada 2018 di Malaysia dan dihentikan akibat COVID-19, kami memutuskan untuk mengaktifkan semula kedua-dua program itu tahun ini selepas enam tahun terhenti bagi menyemarakkan semula hubungan antara pemimpin sektor awam kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama pada majlis makan malam anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar di Rumah Malaysia pada Jumaat.
Shamsul Azri berkata seminar yang diadakan dengan tema "Peneraju Perubahan: Perkhidmatan Awam yang Dipercayai dan Berkesan untuk Abad ke-21", membincangkan tiga tumpuan utama iaitu reformasi ekonomi dan regulasi, reformasi sosial dan reformasi sektor awam, ke arah memperkasa perkhidmatan awam yang tangkas dan berimpak tinggi.
Beliau berkata menerusi program itu, Malaysia juga berhasrat untuk belajar dari sektor perkhidmatan awam Singapura, terutamanya dalam aspek digitalisasi dan reformasi perkhidmatan awam republik itu.
“Perkhidmatan awam Singapura menduduki tangga teratas dalam Indeks Pentadbiran Awam Blavatnik Universiti Oxford. Jadi, kami berharap dapat belajar daripada mereka bagaimana untuk menjadi lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, program Sukan Perkhidmatan Awam ke-41 yang mempertandingkan dua acara iaitu boling dan pingpong telah berlangsung dalam suasana muhibah dan penuh semangat kesukanan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Shamsul Azri dan disertai pegawai kanan kerajaan persekutuan serta negeri, termasuk ketua setiausaha kementerian dan setiausaha kerajaan negeri.
Pada masa sama, delegasi Singapura diketuai oleh Ketua Perkhidmatan Awam Leo Yip yang turut disertai setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pegawai kanan kerajaan Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial