DUNIA > BERITA

"The Destination" Sorot Wajah Baharu Arab Saudi Menuju Masa Depan Global

20/07/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Arab Saudi melancarkan dokumentari baharu bertajuk “The Destination” yang memaparkan perjalanan transformasi besar negara itu di bawah program Wawasan 2030 yang merangkumi bidang politik, ekonomi, sukan dan budaya.

Dokumentari bertajuk “The Destination”, terbitan Inisiatif Konoz di bawah Kementerian Media Arab Saudi, bukan sekadar catatan pencapaian sebaliknya merupakan naratif visual tentang bagaimana Arab Saudi yang sebelum ini sinonim dengan imej konservatif kini muncul sebagai destinasi global moden yang berdaya saing.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Konoz berkata dengan paparan projek mega, pembangunan bakat tempatan, dan ledakan inovasi budaya, filem itu menghantar mesej jelas: Dunia Arab sedang bergerak, dan Arab Saudi berada di barisan hadapan. 

“Dokumentari ini menampilkan rakaman visual mengagumkan dari seluruh pelosok Arab Saudi ,dari padang pasir ke bandar pintar menyampaikan naratif kebangkitan negara yang kini dilihat sebagai penanda aras baharu dalam dunia Islam moden,” kata kenyataan itu. 

Menurut Konoz dokumentari akan disiarkan melalui platform Shahid, STC TV, saluran TV Saudi serta laman rasmi Kementerian Media Arab Saudi.

Antara tokoh penting yang tampil dalam dokumentari termasuk Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Kajian Islam Raja Faisal Putera Turki Al-Faisal, Menteri Sukan Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Turki Al Saud, Penasihat Majlis Menteri Mazen Al-Sudairi, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Diriyah Jerry Inzerillo dan Ketua Jabatan Pembedahan Jantung di Hospital Pakar Raja Faisal Dr Firas Khalil.

Sementara itu, Konoz berkata bagi Malaysia, dokumentari “The Destination” membangkitkan persoalan asas tentang bagaimana membina naratif visual kebangsaan yang inklusif - satu naratif yang mampu mewakili nilai dan perubahan besar dalam masyarakat, sambil berbicara kepada dunia dalam bahasanya sendiri.

“Aspirasi Arab Saudi dalam membangunkan kandungan tempatan mencerminkan visi strategik yang selari dengan usaha Malaysia untuk membina industri media yang mampan dan merentas sempadan,” katanya.

Menurut Konoz, kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi dalam konteks ini dilihat berpotensi untuk diperluas, khususnya dalam bidang penerbitan bersama, latihan media, serta perkongsian kepakaran dalam menyampaikan kisah transformasi sosial.

“Sepertimana Arab Saudi membawa mesej budaya baharu kepada dunia, Malaysia juga memiliki alat naratif pelbagai budaya yang mampu berdialog secara setara - bukan tunduk, tetapi berinteraksi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan