DUNIA > BERITA

Kemboja Gesa ASEAN Pertahankan Perjanjian Gencatan Senjata Dengan Thailand

17/09/2025 11:52 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 17 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa ASEAN untuk menggalakkan pelaksanaan berkesan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand bagi memastikan kestabilan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

“(Harus ada) pematuhan ketat terhadap terma gencatan senjata dan perjanjian yang dicapai semasa mesyuarat GBC (Jawatankuasa Am Sempadan) dan RBC (Jawatankuasa Sempadan Serantau) baru-baru ini, serta pemberhentian segera semua tindakan unilateral yang berisiko mencetuskan ketegangan dan memperluaskan konflik,” katanya dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja mendedahkan butiran surat itu dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau turut menulis surat kepada Presiden China Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kemboja dan Thailand mencapai perjanjian damai pada 28 Julai selepas pertempuran tentera selama lima hari di bahagian utara negara itu, yang menyebabkan hampir 150,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal.

Pertikaian sporadik berlaku antara kedua-dua anggota ASEAN itu berhubung kawalan ke atas wilayah meliputi sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda dengan jelas.

Malaysia, dengan sokongan Amerika Syarikat dan China menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bagi menamatkan konflik ketenteraan itu pada 28 Julai dan mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos bagi mengukuhkan perjanjian damai itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan