DUNIA > BERITA

Siklon Tropika Menuju Australia Barat Dinaik Taraf Ke Kategori 4

30/12/2025 08:27 PM

SYDNEY, 30 Dis (Bernama-Xinhua) -- Siklon tropika yang sedang bergerak ke arah pantai utara Australia Barat (WA) dinaik taraf kepada Kategori 4, menurut pihak berkuasa pada Selasa, lapor Xinhua.

Biro Meteorologi (BoM) dalam kenyataan awal pagi Selasa memaklumkan bahawa Siklon Tropika Hayley telah dinaik taraf kepada sistem Kategori 4 dan dijangka membawa kesan teruk ke wilayah Kimberley di utara WA lewat Selasa.

Menurut BoM, siklon itu dijangka berada pada kekuatan maksimum dan dijangka melemah kepada Kategori 3 sebelum membadai daratan pada petang Selasa berhampiran Derby, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 3,200 penduduk dan terletak lebih 1,800 kilometer di timur laut ibu negeri Perth.

Amaran yang dikeluarkan bagi kawasan berkenaan, termasuk Derby, menyatakan tiupan angin yang sangat merosakkan sehingga 170 kilometer sejam berkemungkinan berlaku mulai awal petang.

Selain itu, hujan lebat dijangka menyebabkan kejadian banjir kilat.

Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan WA memaklumkan terdapat kemungkinan ancaman terhadap nyawa dan harta benda, serta menasihatkan penduduk supaya segera mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berlindung.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan