TOKYO, 3 Jan (Bernama-Xinhua) -- Agensi cuaca Jepun pada Sabtu mengeluarkan amaran bahawa jisim udara sejuk yang kuat di negara itu akan membawa lebih banyak salji ke wilayah timur dan utara, lapor Xinhua.
Salji tebal semakin meningkat di wilayah Chugoku dan Hokuriku pada Jumaat dan Sabtu berikutan kehadiran jisim sejuk itu bersama dengan corak tekanan musim sejuk.
Setakat pukul 11 pagi waktu tempatan pada Sabtu, sebanyak 81 sentimeter (sm) salji terkumpul direkodkan di Bandar Itoigawa, Wilayah Niigata; 76 sm di Pekan Minakami, Wilayah Gunma; 37 sm di Pekan Minamiechizen, Wilayah Fukui; dan 29 sm di Pekan Kitahiroshima, Wilayah Hiroshima, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
JMA memaklumkan walaupun corak tekanan musim sejuk akan semakin lemah secara beransur-ansur, jisim sejuk di negara itu akan terus membawa lebih banyak salji terutamanya di kawasan menghadap Laut Jepun di wilayah timur dan utara, dengan salji turun secara berselang-seli dijangka berlarutan sehingga Isnin.
Memandangkan ramai orang dalam perjalanan pulang selepas cuti Tahun Baharu, agensi itu memberi amaran bahawa salji dan ais di jalan raya boleh mengganggu lalu lintas serta menggesa orang ramai supaya menyemak maklumat cuaca dan trafik terkini.
Pegawai kaji cuaca turut menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya runtuhan salji dan gangguan bekalan elektrik akibat salji yang terkumpul pada kabel utiliti.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial