DUNIA > BERITA

103 Maut Akibat Penyakit Berkaitan Cuaca Sejuk Di Rangpur, Bangladesh Dalam 3 Hari

04/01/2026 02:04 PM

DHAKA, 4 Jan (Bernama-UNB) -- Cuaca sejuk melampau mencetuskan peningkatan mendadak pesakit yang menghidap penyakit berkaitan sejuk di seluruh bahagian Rangpur, dengan 1,421 pesakit baharu dimasukkan ke Hospital Kolej Perubatan Rangpur dalam tempoh tiga hari lalu dan 103 kematian direkodkan dari 1 hingga 3 Jan, lapor United News of Bangladesh (UNB).

Pengarah hospital itu, Brigedier Jeneral Ashiqur Rahman, mengesahkan angka berkenaan pada Sabtu, sambil memaklumkan peningkatan ketara pesakit di wad perubatan dan pediatrik, dengan 37 kematian dicatatkan di wad berkenaan.

Pejabat Meteorologi Rangpur melaporkan suhu yang amat rendah di bahagian itu pada pagi Sabtu, dengan Saidpur di Nilphamari mencatatkan 10.5 darjah Celsius, Panchagarh 10.6°C, Thakurgaon 10.7°C, Rangpur 11.2°C, Kurigram 11.5°C, Gaibandha 11.8°C, dan Lalmonirhat 12°C. Kabus tebal dijangka berterusan dalam tempoh lima hari akan datang.

Pegawai Bertugas Pejabat Meteorologi Rangpur, Mostafizar Rahman, berkata disebabkan kedudukan bahagian Rangpur yang berhampiran dengan Banjaran Himalaya, kesejukan dirasai lebih ketara berbanding kawasan lain di negara itu.

Dalam tempoh tiga hari lalu, wilayah itu mengalami cuaca sejuk melampau akibat angin dingin dan kabus tebal. Kabus sederhana hingga tebal dijangka melanda kawasan utara dari lewat malam hingga waktu pagi.

Suhu pada waktu malam dijangka menurun sedikit manakala suhu siang hari kekal hampir tidak berubah. Perbezaan kecil antara suhu siang dan malam menjadikan cuaca sejuk dirasai lebih mencengkam, tambahnya. 

Pihak berkuasa berkata cuaca sejuk itu menjejaskan kehidupan harian secara serius, khususnya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah di sepanjang sungai Teesta, Dharla dan Jamuna. Langkah-langkah turut diambil bagi melindungi ternakan, ayam itik dan haiwan zoo, termasuk pemberian suplemen vitamin serta menutup reban dan kandang.

Pegawai Bantuan dan Pemulihan daerah, Golam Kibria, berkata sebanyak 12,500 selimut telah diagihkan setakat ini dan Tk 48 lakh, kira-kira US$43,000, diperuntukkan bagi penyediaan pakaian panas di lapan upazila (daerah kecil pentadbiran) bagi mengurangkan penderitaan akibat cuaca sejuk.

-- BERNAMA-UNB


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan