| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
MADRID, 5 Jan (Bernama-Xinhua) --- Migran dan penduduk berketurunan Amerika Latin, bersama penyokong dari Sepanyol, berhimpun di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Madrid pada Ahad bagi membantah apa yang disifatkan sebagai campur tangan AS di Venezuela.
Mereka membawa bendera negara Amerika Latin dan melaungkan slogan menyokong kedaulatan negara itu, lapor Xinhua.
Muzik seruling pan Andes mengiringi protes itu. Alberto Calderon, ahli kumpulan muzik tradisional Andes migran dari Peru, mengetuai alunan muzik dan memimpin laungan bantahan.
Beliau berkata melodi itu yang berasal dari tanah tinggi Andes dan dikongsi merentasi Peru, Bolivia, Ecuador serta sebahagian Argentina dan Chile, wujud sebelum sempadan negara moden dan kini disesuaikan untuk mencerminkan situasi semasa Venezuela.
“Venezuela, sebuah negara yang tidak akan lenyap,” laung peserta protes. “Atas daya tahanmu, rakyat dunia berdiri bersamamu, ” kata Araceli Munoz Rojas yang menyertai perhimpunan itu bagi membantah apa yang disifatkannya sebagai campur tangan ketenteraan AS di Venezuela serta pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.
Miguel Sanchez, warga dengan dwikerakyatan Sepanyol-Argentina pula memberi amaran yang campur tangan luar boleh menjadi satu duluan berbahaya kepada seluruh rantau itu.
Ketika perhimpunan berakhir, muzik dan laungan semakin reda, peserta melaungkan slogan solidariti serta mengingatkan mengenai campur tangan asing di Amerika Latin. “Walaupun masa berlalu, aku tidak dapat melupakanmu, ia mustahil,” nyanyi peserta.
Terdahulu pada Sabtu, AS melancarkan serangan berskala besar ke atas Venezuela dan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya dikatakan “ditahan dan diterbangkan keluar dari Venezuela,” menurut satu hantaran oleh Presiden AS Donald Trump di akaun Truth Social miliknya.
Tindakan ketenteraan AS terhadap negara Amerika Selatan itu menerima kecaman meluas masyarakat antarabangsa, dengan beberapa negara menggesa tindak balas global yang bersepadu.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial