DUNIA > BERITA

Pemangku Presiden Venezuela Gesa AS Berkolaborasi Dalam Agenda Kerjasama Susulan Penahanan Maduro

05/01/2026 05:51 PM

WASHINGTON, 5 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pemangku Presiden  Venezuela Delcy Rodriguez pada Ahad mempelawa Kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk bekerjasama dengan negaranya susulan serbuan oleh tentera Amerika yang menyaksikan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya ditahan serta dibawa ke AS untuk menghadapi pertuduhan jenayah, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami mempelawa Kerajaan AS untuk bekerjasama dengan kami dalam agenda kerjasama yang berorientasikan pembangunan bersama dalam rangka kerja  undang-undang antarabangsa bagi memperkukuh kewujudan komuniti bersama yang berkekalan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Kami mengutamakan usaha ke arah hubungan antarabangsa yang seimbang dan penuh hormat antara AS dan Venezuela, serta antara Venezuela dan negara lain di rantau ini, berasaskan kesaksamaan kedaulatan dan prinsip tidak campur tangan," tulis beliau.

Rodriguez turut menyatakan: "Presiden Donald Trump, rakyat kami dan rantau ini berhak mendapat keamanan dan dialog, bukannya peperangan. Ini sentiasa menjadi mesej Presiden Nicolas Maduro, dan ia adalah mesej seluruh Venezuela pada saat ini."

Terdahulu pada Ahad, Trump ketika ditanya mengenai Rodriguez memberikan maklum balas bahawa beliau sedang "memberi kerjasama", namun turut memberi amaran bahawa Rodriguez "mungkin akan menghadapi situasi yang lebih buruk daripada Maduro" jika beliau gagal berbuat demikian.

"Kami memerlukan akses sepenuhnya. Kami memerlukan akses kepada minyak dan perkara lain di negara mereka yang membolehkan kami membina semula negara itu," kata Trump apabila ditanya mengenai apa yang diperlukannya daripada Rodriguez.

Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mendarat di New York lewat Sabtu dan kini ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn. Mereka berdepan pertuduhan persekutuan AS berkaitan pengedaran dadah dan dakwaan bekerjasama dengan kumpulan yang dikategorikan sebagai organisasi pengganas.

Maduro menafikan segala tuduhan berkenaan, manakala pegawai di ibu negara Venezuela, Caracas menuntut pembebasan pasangan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan