ABUJA (Nigeria)/ANKARA (Bernama-Anadolu) -- Jumlah kematian akibat serangan kumpulan bersenjata di sebuah pasar di negeri Niger, Nigeria meningkat kepada 50 orang, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan tempatan pada Ahad.
Dalam kejadian pada Sabtu itu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu pasar Kasuwan Daji di Kampung Demo sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk.
Selain membunuh mangsa, kumpulan itu turut melarikan sebilangan besar penduduk dan merampas bekalan makanan.
Satu majlis pengebumian beramai-ramai telah diadakan bagi mangsa yang terkorban, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Presiden Bola Tinubu mengecam keras serangan berkenaan dan mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu serta menahan dalang di sebalik insiden itu.
“Mereka sedang mencabar ketegasan negara dan mesti menerima kesan sepenuhnya atas tindakan jenayah ini,” katanya.
Tinubu turut mengarahkan pihak berkuasa untuk segera menyelamatkan semua individu yang dilarikan dalam serangan itu.
Negeri Niger menyaksikan serangan pengganas yang berulang kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya di komuniti luar bandar yang terdedah kepada ancaman kumpulan bersenjata yang beroperasi dari kawasan hutan.
Pada 21 November tahun lepas, sekumpulan lelaki bersenjata melarikan 315 individu termasuk 303 pelajar dan 12 guru dari Sekolah Rendah dan Menengah Katolik Persendirian St Mary di Papiri, Kawasan Kerajaan Tempatan Agwara.
Walaupun kira-kira 50 pelajar berjaya melarikan diri pada hari pertama dan bersatu semula dengan keluarga mereka, kerajaan persekutuan kemudiannya berjaya membebaskan 100 yang lain.
Pada 21 Disember, Menteri Penerangan Mohammed Idris mengumumkan bahawa kesemua baki pelajar yang dilarikan telah dibebaskan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial