DUNIA > BERITA

Maduro Mengaku Tidak Bersalah Atas Semua Pertuduhan Di Mahkamah AS

06/01/2026 12:12 PM

 

WASHINGTON, 6 Jan (Bernama) -- Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Isnin terhadap beberapa siri pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump, lapor Anadolu Ajansi.

"Saya tidak bersalah. Saya tidak bersalah atas sebarang perkara yang disebutkan di sini," kata Maduro kepada Hakim Amerika Syarikat (AS) Alvin Hellerstein, menurut beberapa laporan media.

Flores turut memberikan maklum balas yang sama apabila diminta menyatakan pengakuan, dengan memberitahu Hellerstein bahawa beliau "tidak bersalah. Memang tidak bersalah.” 

Hellerstein memaklumkan Maduro dan Flores bahawa mereka mempunyai hak untuk lawatan konsul, dan kedua-duanya menyatakan keinginan untuk menggunakan hak itu. Buat masa ini, kedua-dua pihak tidak memohon ikat jamin.

Maduro berhadapan dengan empat pertuduhan yang mendakwa beliau mengetuai konspirasi “keganasan-narko” selama berdekad-dekad bertujuan membanjiri AS dengan kokain.

Pendakwa raya AS mendakwa Maduro menyelaraskan kegiatan itu bersama kumpulan bersenjata dan tokoh kanan kerajaan untuk memudahkan penyeludupan kokain secara besar-besaran, dengan menggunakan institusi negara bagi menyokong operasi dadah berkenaan.

Pertuduhan itu didedahkan selepas Maduro dipindahkan ke New York pada Sabtu susulan operasi ketenteraan AS semalaman yang membawa kepada penahanannya. Beliau kini berada di bawah  tahanan persekutuan di Brooklyn.

“Saya ditangkap di rumah saya di Caracas, Venezuela," kata Maduro, sebelum mendakwa bahawa beliau telah "diculik" oleh pihak AS.

Barry Pollack, peguam yang mewakili Maduro, dilihat mula menyediakan asas pembelaan untuk mencabar kesahihan penahanan Maduro dengan menyatakan "terdapat keraguan mengenai kesahihan tindakan ketenteraan itu."

Hellerstein menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan mahkamah yang seterusnya bagi Maduro.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan