DAMSYIK/ISTANBUL, 7 Jan (Bernama-Anadolu) -- Seorang anggota tentera Syria dan empat orang awam, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Selasa dalam serangan oleh kumpulan SDF di bandar Aleppo, utara Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media.
Agensi Berita Arab Syria (SANA) melaporkan serangan dron menyasarkan lokasi pengaturan kedudukan tentera berhampiran kawasan kejiranan Sheikh Maqsoud di Aleppo, mengorbankan seorang anggota tentera dan mencederakan beberapa yang lain.
Menurut SANA, empat orang awam, termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak, maut akibat bedilan artileri SDF ke atas bangunan kediaman di kawasan Al-Midan di bandar itu.
Memetik pegawai tempatan di Aleppo, agensi itu berkata seramai 16 orang turut cedera, termasuk kanak-kanak dan sembilan penjawat awam, dalam serangan SDF berkenaan.
Media itu turut melaporkan pemindahan paksa penduduk di Nile Street di utara Aleppo ke kawasan lebih selamat susulan serangan SDF ke atas bangunan kediaman.
Kumpulan SDF juga membedil Hospital Zahi Azrak yang bernaung di bawah Direktorat Kesihatan Aleppo di kawasan kejiranan Bustan al-Basha serta Sekolah Al-Kalima di kejiranan New Seryan di Aleppo.
Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat mengenai angka korban dilaporkan.
Menurut SANA, tentera Syria turut memindahkan kakitangan sebuah lagi hospital di bandar Aleppo selepas ia menjadi sasaran tembakan SDF itu.
Kumpulan SDF turut menyasarkan stesen minyak Tattan di kawasan Suleimaniyah menggunakan dron serangan bunuh diri.
Sementara itu, pihak berkuasa Syria mengumumkan penggantungan sesi persekolahan pada Rabu di sekolah dan universiti, serta operasi di institusi kerajaan di Aleppo, susulan bedilan artileri berterusan oleh SDF.
Gabenor Aleppo, Azam al-Gharib, berkata penggantungan itu melibatkan sekolah dan universiti awam serta swasta, selain jabatan-jabatan kerajaan.
“Semua aktiviti kolektif dan sosial turut dibatalkan dalam tempoh ini bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai supaya “berwaspada, mengelak daripada menuju ke pusat bandar atau melalui kawasan pertempuran, serta menjauhi kawasan tumpuan orang ramai.”
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial