BOGOTA (Colombia), 7 Jan (Bernama-Anadolu) -- Presiden interim Venezuela Delcy Rodriguez, pada Selasa mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama tujuh hari bagi menghormati pejuang muda yang terkorban semasa operasi keselamatan Amerika Syarikat yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya Cilia Flores, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Berucap pada satu upacara yang disiarkan di televisyen di Caracas, Rodriguez memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh dalam serangan pada Sabtu lalu.
“Imej anak muda yang gugur ini menusuk jiwa saya,” katanya, sambil menegaskan mereka berkorban demi mempertahan “nilai tertinggi” negara.
Jumlah kematian sebenar masih menjadi persoalan berikutan laporan yang bercanggah, apabila beberapa media tempatan memetik pegawai sebagai berkata, sehingga 80 orang terkorban, manakala Peguam Negara Tarek William Saab merujuk kepada “puluhan” mangsa.
Saab mengumumkan pelantikan tiga pendakwa khas untuk menyiasat kematian itu, yang melibatkan orang awam dan anggota tentera.
Beliau menyifatkan serbuan AS itu sebagai “jenayah perang yang mengerikan” serta “serangan yang belum pernah berlaku” terhadap kedaulatan Venezuela.
Walaupun Presiden AS Donald Trump mendakwa pentadbirannya akan mengawasi peralihan kuasa di negara kaya minyak itu, Rodriguez menegaskan tiada “ejen luar” yang sedang mentadbir Venezuela pada masa ini.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial