WASHINGTON, 13 Jan (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas “mana-mana dan semua” negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran, menurut Anadolu Ajansi (AA).
“Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan membayar tarif 25 peratus bagi mana-mana dan semua urus niaga dengan AS,” kata Trump dalam satu kenyataan menerusi platform Truth Social. “Perintah ini adalah muktamad dan konklusif.”
Butiran tambahan mengenai duti import itu belum diperincikan setakat ini.
Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk menyerang Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kematian bagi menyuraikan protes yang telah merebak ke seluruh negara. Namun kenyataan terbaharunya itu dibuat hanya beberapa jam selepas Rumah Putih memaklumkan bahawa beliau “berminat” untuk meneroka pendekatan diplomasi dengan Tehran.
Anadolu melaporkan bahawa Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata Trump “tidak gentar” untuk melaksanakan ancamannya menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap sasaran di Iran sekiranya penunjuk perasaan diserang oleh pasukan keselamatan, namun menegaskan pilihan utamanya ialah menjalinkan diplomasi dengan Tehran.
Terdahulu pada hari yang sama, protes diadakan di beberapa kawasan di Iran bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan ketika demonstrasi anti-kerajaan memasuki hari ke-16 susulan keadaan ekonomi yang semakin bertambah buruk di negara itu.
Di Tehran, orang ramai berkumpul di Dataran Enghelab, sebuah kawasan tumpuan utama berhampiran Universiti Tehran, sambil mengibarkan bendera Iran dan “mengecam keganasan baru-baru ini” di tempat awam, menurut seorang wartawan Anadolu.
Penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan menangani rungutan ekonomi sambil menolak apa yang mereka sifatkan sebagai “campur tangan asing” dalam urusan dalaman Iran. Perhimpunan serupa turut dilaporkan berlaku di bandar-bandar lain, termasuk Kerman, Zahedan dan Birjand di timur Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial