DUNIA > BERITA

Sasaran IMF Perlu Disemak Semula Susulan Impak Siklon - Bank Pusat Sri Lanka

13/01/2026 07:20 PM

COLOMBO, 13 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sri Lanka perlu memohon semakan semula terhadap sasaran yang ditetapkan di bawah perjanjian Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata Gabenor Bank Pusat Nandalal Weerasinghe pada malam Isnin, lapor Xinhua.

Dalam satu temu bual televisyen tempatan, Weerasinghe berkata perbincangan mengenai semakan penanda aras program itu dijangka bermula lewat bulan ini apabila pasukan IMF tiba di Colombo untuk semakan kelima bagi EFF selama 48 bulan itu.

Misi itu dijadualkan untuk menilai kemajuan Sri Lanka dan mengadakan perundingan dengan pihak berkuasa kerajaan, kata beliau.

Gabenor itu berkata pelarasan sasaran menjadi perlu disebabkan oleh kejutan luar jangka, terutamanya Siklon Ditwah, yang mengakibatkan kerosakan besar kepada infrastruktur dan menjejaskan punca pendapatan penduduk di beberapa daerah dengan teruk.

Beliau menyatakan yang belanjawan tahunan digubal sebelum siklon melanda dan impaknya, bersama-sama cabaran baharu yang muncul, perlu diambil kira semasa semakan akan datang.

IMF meluluskan EFF selama 48 bulan pada Mac 2023, dengan menyediakan kira-kira US$3 bilion kepada Sri Lanka bagi menyokong program reformasi ekonomi dan usaha pemulihan negara itu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan