DUNIA > BERITA

China Sudi Melangkah Bersama Afrika Menuju Modenisasi - MFA

14/01/2026 02:35 PM

BEIJING, 14 Jan (Bernama-CMG) -- China kekal bersikap terbuka dan mengalu-alukan negara dari benua Afrika memanfaatkan peluang dijana pembangunan negara Tembok Besar dan bersama-sama melangkah menuju ke arah modenisasi.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) Mao Ning berkata demikian sewaktu berkongsi butiran lanjut mengenai hasil lawatan Menteri Luar Wang Yi ke Afrika, dalam taklimat harian di Beijing pada Selasa.

Beliau memetik kenyataan Wang Yi sebagai berkata, lawatan itu menandakan tahun ke-36 berturut-turut bagi diplomat tertinggi China menjadikan Afrika sebagai destinasi pertama yang dilawati pada awal tahun baharu.

Kunjungan berkenaan merupakan cerminan keakraban ikatan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama antara rakyat China dengan Afrika.

Mao berkata China akan terus menjadi enjin pertumbuhan global, dan bersedia berperanan sebagai pemangkin bagi pembangunan Afrika.

Dasar tarif sifar yang acap kali disebut oleh pihak Afrika merupakan antara simbolik kejayaan kolaborasi China-Afrika pada era baharu, dan juga inisiatif penting yang diambil China untuk memperluas keterbukaan secara sepihak.

Ia memperlihatkan kesudian China untuk menggalas lebih banyak tanggungjawab antarabangsa, kata Mao sambil menambah bahawa negara Tembok Besar komited memantapkan keterbukaan pada tahap lebih tinggi dan memastikan pasaran besar mencipta peluang kepada Afrika.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan