DUNIA > BERITA

BNN Indonesia Serbu Pusat Pemprosesan Cecair Vape, Dua Warga Malaysia Ditahan

17/01/2026 12:39 PM

JAKARTA, 16 Jan (Bernama) -- Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia menahan dua warganegara Malaysia kerana disyaki terlibat dalam pemprosesan cecair rokok elektronik atau vap  yang mengandungi “etomidate”.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada Jumaat di sebuah pangsapuri di Jakarta Selatan yang dipercayai dijadikan makmal haram bagi menghasilkan “etomidate”, sejenis ubat bius intravena.

Ketua Pengarah Pembanterasan BNN Aldrin Hutabarat berkata hasil risikan dan siasatan seorang daripada suspek tiba di Jakarta dengan membawa beg pakaian dan beg galas yang mengandungi kira-kira 3,000 kartrij vape kosong sebelum menuju ke pangsapuri itu.

“Ketika serbuan, kedua-dua suspek sedang mencampurkan cecair ‘etomidate’ untuk dimasukkan ke dalam kartrij vap,” katanya dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

Dalam serbuan itu, beliau berkata BNN turut merampas cecair ‘etomidate’, kartrij vap dan penutup, wang tunai dan telefon bimbit.

Beliau berkata salah seorang suspek mengaku menerima upah berjumlah Rp 6.39 juta (RM1,656) daripada seorang individu untuk ke Indonesia.

Kedua-dua suspek itu kini disiasat di bawah Undang-Undang Narkotik Indonesia No. 35 Tahun 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan