WASHINGTON, 17 Jan (Bernama-Anadolu) -- Rumah Putih pada Jumaat mengumumkan barisan kepimpinan “Lembaga Keamanan” untuk Semenanjung Gaza serta ketua Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Donald Trump untuk menamatkan serangan genosid Israel di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan, Rumah Putih memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG) akan diketuai oleh Dr Ali Sha’ath, bekas anggota Kabinet Pihak Berkuasa Palestin, lapor Anadolu Ajansi.
Rumah Putih menyifatkan Sha’ath sebagai “seorang pemimpin teknokrat yang dihormati secara meluas dan akan menyelia pemulihan perkhidmatan awam, membina semula institusi awam serta menstabilkan kehidupan harian di Gaza, sambil meletakkan asas bagi tadbir urus jangka panjang.”
Rumah Putih turut mengumumkan pembentukan Lembaga Eksekutif untuk menyokong tadbir urus dan perkhidmatan, termasuk Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan; Utusan Khas Trump Steve Witkoff; menantu Trump Jared Kushner; bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK) Tony Blair; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) Reem Al-Hashimy; diplomat veteran Qatar Ali Al-Thawadi; ketua perisikan Mesir Hassan Rashad; diplomat Bulgaria berpangkalan di UAE dan bekas utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nickolay Mladenov; ahli perniagaan Cyprus-Israel Yakir Gabay; serta ahli politik Belanda Sigrid Kaag.
Lembaga Eksekutif yang akan membimbing "Lembaga Keamanan" itu akan dipengerusikan oleh Trump, menurut laporan berkenaan.
Anggotanya termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, Witkoff, Kushner, Blair, bilionair Marc Rowan, Presiden Kumpulan Bank Dunia Ajay Banga dan penasihat politik AS Robert Gabriel.
Mladenov akan berperanan sebagai Wakil Tinggi untuk Gaza, menghubungkan "Lembaga Keamanan" dengan NCAG, manakala Mejar Jeneral Jasper Jeffers akan mengetuai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
AS turut melantik Aryeh Lightstone dan Josh Gruenbaum sebagai penasihat kanan kepada "Lembaga Keamanan" untuk menyelia “strategi dan operasi harian.”
Menurut Rumah Putih, lebih ramai anggota Lembaga Eksekutif dan Lembaga Eksekutif Gaza akan diumumkan dalam minggu-minggu mendatang.
Pengumuman itu dibuat selepas Witkoff pada Rabu mengumumkan permulaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza, dengan menyatakan tumpuan kini beralih kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada Oktober 2025. Fasa pertamanya menghentikan serangan, membenarkan pengunduran sebahagian tentera Israel, memudahkan pertukaran tawanan Israel dengan ratusan rakyat Palestin yang ditahan Israel dan membenarkan kemasukan terhad bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun perjanjian itu menetapkan akses penuh.
Fasa kedua menyeru pengunduran penuh tentera Israel, pelucutan senjata Hamas, pengerahan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) serta pembentukan jawatankuasa “teknokrat” Palestin untuk mentadbir Gaza buat sementara waktu.
Rakyat Palestin berkata Israel berulang kali melanggar gencatan senjata itu, yang menyusuli serangan yang mengorbankan lebih 71,000 penduduk Gaza - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Sejak gencatan itu, hampir 450 rakyat Palestin maut dan lebih 1,200 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial