JAKARTA, 17 Jan (Bernama) -- Indonesia akan membayar gaji hari kepada petani di Sumatera bagi kerja-kerja pemulihan sawah padi mereka yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini, kata Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman.
Beliau berkata kerajaan pusat akan menanggung semua kos yang perlu ditanggung petani, termasuk penyediaan benih percuma, pemulihan tanah dan pembaikan sistem pengairan yang rosak, menurut laporan Agensi Berita ANTARA.
“Petani kita memperoleh pendapatan harian semasa mereka bekerja di sawah masing-masing manakala kos pemulihan tanah, benih dan sistem pengairan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pusat,” katanya.
Skim itu meliputi wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, yang menyaksikan sejumlah 98,002 hektar sawah padi rosak akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Aceh mencatatkan kawasan terjejas terbesar iaitu 54,233 hektar, diikuti Sumatera Utara dengan 37,318 hektar dan Sumatera Barat dengan 6,451 hektar.
Menteri itu berkata usaha pemulihan dari sekarang hingga Februari akan memberi keutamaan kepada 13,708 hektar tanah yang mengalami kerosakan ringan dan sederhana sebelum beralih ke kawasan yang rosak teruk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial