DUNIA > BERITA

California Keluar Surat Arahan Pemberhentian Kepada xAI

17/01/2026 09:10 PM

ISTANBUL, 17 Jan (Bernama-Anadolu) -- Peguam Negeri California Rob Bonta pada Jumaat telah mengeluarkan surat arahan pemberhentian (cease-and-desist) kepada syarikat xAI milik Elon Musk, menuntut agar penghasilan imej pemalsuan (deepfake) berunsur seksual yang dijana AI melalui model Grok di platform media sosial X dihentikan serta-merta, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bonta dalam kenyataan Jabatan Keadilan California berkata "penghasilan, pengedaran, penerbitan dan paparan" imej deepfake kanak-kanak perempuan merupakan bahan penderaan seksual kanak-kanak dan melanggar undang-undang California. Pihaknya sedang menyiasat kandungan eksplisit seksual tanpa izin yang dihasilkan menggunakan Grok.

“Banyaknya laporan yang memperincikan bahan ini, yang kadangkala memaparkan wanita dan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti seksual, adalah mengejutkan dan…berpotensi menyalahi undang-undang,” katanya sambil menegaskan bahawa “California tidak bertoleransi terhadap bahan penderaan seksual kanak-kanak.”

Pegawai kerajaan negeri memetik laporan bahawa Grok telah mengubah suai imej untuk "menanggalkan pakaian" subjek tanpa kebenaran yang sebahagiannya melibatkan kanak-kanak.

Pihak xAI tidak memberikan maklum balas segera. Musk berkata beliau "tidak menyedari adanya sebarang imej bogel kanak-kanak bawah umur yang dihasilkan Grok. Secara harfiahnya, sifar."

X menyatakan bahawa mereka sedang menyekat suntingan imej tertentu dan berjanji “tiada toleransi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual kanak-kanak.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan