DUNIA > BERITA

Kebanyakan Eksport Makanan Korea Bertumpu Kepada AS, China Dan Jepun

18/01/2026 11:15 PM

SEOUL, 18 Jan (Bernama-Yonhap) -- Eksport produk pertanian dan makanan Korea Selatan kekal tertumpu secara besar-besaran kepada pasaran Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun, lapor agensi berita Yonhap pada Ahad.

Data terbaharu itu menekankan keperluan untuk mempelbagaikan pasaran bagi mengekalkan pertumbuhan industri berkenaan.

Menurut data daripada Perbadanan Perdagangan Agro-Perikanan & Makanan Korea, penghantaran ke luar negara produk pertanian dan barangan makanan mencecah rekod US$10.2 bilion pada 2025. Daripada jumlah itu, sebanyak 45.6 peratus adalah menuju ke tiga pasaran utama iaitu AS, China dan Jepun.

AS menduduki tempat pertama dengan import produk makanan Korea Selatan bernilai US$1.8 bilion, merangkumi 17.5 peratus daripada keseluruhan eksport makanan, diikuti China dengan perkongsian 15.4 peratus dan Jepun sebanyak 12.7 peratus.

Eksport ke Kesatuan Eropah (EU), termasuk United Kingdom, berjumlah US$773 juta atau 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala penghantaran ke negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman merangkumi kira-kira empat peratus.

Sebagai tindak balas, kerajaan dan pihak industri telah mempergiat usaha untuk meneroka pasaran baharu.

Kementerian Pertanian melancarkan pasukan petugas awam-swasta pada Disember lepas bagi mengenal pasti produk strategik mengikut wilayah, mempromosikan projek penembusan pasaran serta meluaskan langkah sokongan untuk pertumbuhan eksport.

Pihak berkuasa turut meningkatkan jangkauan kepada pembeli dari pasaran pesat membangun melalui perundingan perdagangan dwitahunan serta memperkukuh usaha pemasaran tempatan.

Kerajaan telah menetapkan lima negara termasuk Afrika Selatan dan Chile sebagai pasaran utama tahun lepas, dan memutuskan untuk memperluas senarai itu merangkumi Argentina, Qatar, Turkiye, Ghana dan India.

"Kami sedang berkembang ke bandar-bandar tahap kedua dan ketiga di AS, China dan Jepun, dan bukannya hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar.

Kami juga berusaha untuk menggalakkan pertumbuhan di Timur Tengah dan Afrika sebagai pasaran strategik," kata seorang pegawai kementerian.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan