DUNIA > BERITA

Roket Bulan Baharu NASA Dipindahkan Ke Pad Pelancaran Untuk Misi Angkasawan

18/01/2026 11:17 PM

WASHINGTON, 18 Jan (Bernama-WAM) -- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengumumkan permulaan proses pemindahan roket gergasi baharunya ke pad pelancaran di Pusat Angkasa Kennedy, sebagai persediaan untuk misi berisiko tinggi yang dijadualkan pada awal Februari bertujuan menghantar angkasawan mengelilingi Bulan dan kembali ke Bumi.

Ia bakal menjadi penerbangan lunar bermanusia pertama seumpamanya dalam tempoh lebih 50 tahun, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Roket setinggi 98 meter itu memulakan perjalanannya dengan kelajuan kira-kira satu batu sejam dari Bangunan Pemasangan Kenderaan di Pusat Angkasa Kennedy pada waktu subuh. Proses membawa keluar roket ke pad pelancaran yang melibatkan jarak kira-kira enam kilometer itu dijangka berterusan sepanjang malam.

Proses tersebut menandakan ujian kedua Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) dan yang pertama membawa kru. Empat angkasawan akan tinggal di dalam kapsul Orion, mereka akan menguji sistem sokongan hayat dan komunikasi, serta menjalankan latihan gerakan di angkasa lepas.

SLS merupakan roket paling berkuasa yang pernah dibina oleh NASA setakat ini, menghasilkan hampir 15 peratus lebih tujahan semasa pelancaran berbanding roket Saturn V yang digunakan pada tahun 1960-an.

Misi ini adalah sebahagian daripada program Artemis, satu usaha bernilai berbilion dolar yang menyusuli ujian penerbangan tanpa manusia pada 2022 dan menyediakan landasan untuk Artemis 3, yang bertujuan mendaratkan angkasawan berhampiran kutub selatan Bulan secepat mungkin serta membina pangkalan lunar yang mampan sebagai titik pelancaran masa hadapan untuk misi ke Marikh.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan