DUNIA > BERITA

Raja Jordan Terima Undangan Trump Sertai Lembaga Keamanan Gaza

18/01/2026 11:47 PM

ISTANBUL, 18 Jan (Bernama-Anadolu) -- Raja Jordan Raja Abdullah II menerima undangan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza, menurut Kementerian Luar negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa baginda telah menerima undangan itu "untuk menyertai Lembaga Keamanan, dan dokumen berkaitan sedang disemak selaras dengan prosedur undang-undang dalaman".

"Jordan menghargai peranan kepimpinan Presiden Trump dalam mencapai gencatan senjata di Gaza, melancarkan pelan damai komprehensif, serta usaha yang beliau lakukan untuk mencapai keselamatan, kestabilan dan keamanan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Ali Shaath secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) pada Ahad, dan memaklumkan tindakan pertamanya adalah menerima pakai serta menandatangani kenyataan misi jawatankuasa itu.

Pada Jumaat, Rumah Putih mengumumkan Ahli Jawatankuasa Gaza yang akan memantau peralihan kuasa di kawasan enklaf itu, sebagai sebahagian daripada Pelan 20 Perkara Presiden Trump untuk menamatkan perang Israel di wilayah berkenaan.

Shaath merupakan bekas timbalan menteri Palestin dalam Pihak Berkuasa Palestin.

Menurut kenyataan Rumah Putih, Lembaga Eksekutif Gaza turut diumumkan bagi menyokong tadbir urus dan perkhidmatan, yang antara lain termasuk Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan; utusan khas Trump, Steve Witkoff; menantu Trump, Jared Kushner; bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) Reem Al-Hashimy; diplomat veteran Qatar Ali Al-Thawadi serta Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad.

Witkoff berkata pada Rabu fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza telah bermula, dengan tumpuan beralih kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula.

Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Okt, menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 71,000 orang dan mencederakan lebih 171,000 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan