DUNIA > BERITA

Saintis Australia Dapati Sel Jantung Manusia Tumbuh Semula Selepas Serangan Jantung

20/01/2026 05:34 PM

SYDNEY, 20 Jan (Bernama-Xinhua) -- Saintis di Australia mendapati jantung manusia berupaya menumbuhkan semula sel-sel otot selepas serangan jantung sekali gus memberi harapan untuk rawatan regeneratif pada masa hadapan, lapor Xinhua.

Kajian yang diterbitkan dalam Circulation Research itu, mendedahkan bahawa meskipun beberapa bahagian jantung mengalami kerosakan selepas serangan jantung namun sel-sel otot baharu turut dihasilkan, satu fenomena yang sebelum ini hanya dilihat pada tikus dan kini ditunjukkan pada manusia buat kali pertama, menurut kenyataan dari Universiti Sydney Australia pada Selasa.

“Sehingga kini kami berpendapat kerana sel jantung mati selepas serangan jantung, bahagian jantung terbabit tidak boleh dibaiki, menyebabkan jantung kurang mampu untuk mengepam darah ke organ badan,” kata Robert Hume, penyelidik universiti itu dan penulis pertama kajian berkenaan.

“Pada akhirnya, kami harap dapat membangunkan terapi yang boleh memperhebat keupayaan semula jadi jantung untuk menghasilkan sel baharu dan menghidupkan semula jantung selepas serangan,” kata Hume yang juga ketua penyelidikan translasional di Institut Penyelidikan Jantung dan Paru-Paru Baird Australia.

Pasukan berkenaan menghasilkan penemuan itu menggunakan sampel tisu jantung hidup yang dikumpul daripada pesakit yang menjalani pembedahan pintasan di Hospital Royal Prince Alfred Australia.

“Akhirnya, matlamatnya adalah untuk memanfaatkan penemuan ini bagi menghasilkan sel jantung baharu yang boleh memulihkan kegagalan jantung, " kata Profesor Sean Lal, pengarang kanan kajian dan pakar kardiologi kegagalan jantung di Royal Prince Alfred Hospital.

Penyakit kardiovaskular kekal sebagai punca utama kematian di dunia dan serangan jantung boleh menghapuskan satu pertiga daripada sel dalam jantung manusia, kata penyelidik sambil menambah bahawa penemuan itu menawarkan permulaan yang baik untuk perubatan regeneratif baharu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan