DUNIA > BERITA

Malaysia Kecam Serangan Terbaru Israel Di Gaza, Nyatakan Pencabulan Gencatan Senjata

22/01/2026 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Malaysia mengecam keras serangan oleh rejim Israel di Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan wartawan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata serangan itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, menekankan bahawa serangan tersebut jelas melanggar perjanjian gencatan senjata yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20-perkara pada 29 Sept 2025.

“Malaysia menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ini bertanggungjawab mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta menjejaskan keselamatan dan akses kepada perkhidmatan asas tidak boleh diterima sama sekali dan membantutkan usaha ke arah meredakan ketegangan, demi mencapai keamanan dan kestabilan,” menurut Wisma Putra pada Khamis.

Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan seruannya agar penindasan, kekejaman dan pembunuhan keatas rakyat Palestin dihentikan serta-merta, serta agar semua pihak terlibat kembali komited kearah mencapai penyelesaian yang adil dan keamanan yang berkekalan di Palestin.

Ia juga menegaskan bahawa Malaysia terus menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan