ISTANBUL, 24 Jan (Bernama-Anadolu) -- Susulan keputusan kontroversi pentadbiran Presiden Donald Trump untuk keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), California akan menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) yang menyertai Rangkaian Amaran dan Maklum Balas Wabak Global (GOARN) di bawah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, kata Gabenor Gavin Newsom pada Jumaat.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), pengumuman Newsom itu dibuat hanya sehari selepas AS secara rasmi melengkapkan proses penarikan dirinya daripada WHO, sekali gus menamatkan keahlian selama hampir 80 tahun sebagai ahli pengasas.
"Ketika Presiden Trump menarik balik penyertaan Amerika Syarikat daripada WHO, California mengambil langkah ke hadapan di bawah Gabenor Gavin Newsom - menjadi negeri pertama dan kini merupakan satu-satunya negeri yang menyertai GOARN bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam serta penyelarasan tindak balas pantas," menurut kenyataan pejabat gabenor itu.
Kenyataan itu turut memetik Newsom sebagai berkata: "Tindakan pentadbiran Trump menarik diri daripada WHO adalah satu keputusan melulu yang akan memudaratkan semua penduduk California dan rakyat Amerika. California tidak akan hanya berdiam diri melihat huru-hara yang bakal dibawa oleh keputusan ini."
Dengan populasi hampir 40 juta orang, California merupakan negeri paling padat di AS yang merangkumi kira-kira 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu. Jika ia sebuah negara merdeka, California akan menduduki tempat ke-38 dalam senarai populasi global serta memiliki ekonomi kelima terbesar di dunia.
Ketegangan antara Presiden AS Donald Trump dan Newsom sering tercetus sejak Trump memulakan penggal keduanya setahun lepas, termasuk pertikaian mengenai keputusan Presiden daripada parti Republikan itu untuk menggerakkan tentera Pengawal Negara ke California pada musim panas lepas.
GOARN berfungsi untuk memantau dan bertindak balas terhadap wabak yang mengancam, menilai risiko penyakit tertentu, serta meningkatkan keupayaan antarabangsa dalam menanganinya.
Kepentingan instrumen antarabangsa sedemikian terbukti semasa pandemik COVID-19 yang tersebar pantas ke seluruh dunia, memandangkan ancaman penyakit tidak mengenal sempadan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial