MANILA, 26 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 13 mayat ditemukan dan lebih 100 orang masih hilang selepas sebuah feri antara pulau yang membawa lebih 300 penumpang serta kru karam pada awal pagi Isnin di perairan wilayah Basilan di selatan Filipina, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa.
Pengawal Pantai Filipina di Barat Daya Mindanao menyatakan bahawa feri berkenaan dalam perjalanan ke Pulau Jolo di wilayah Sulu dari Bandar Zamboanga apabila ia karam berhampiran Pulau Balukbaluk di Hadji Muhtamad, sebuah perbandaran di wilayah Basilan.
Pasukan penyelamat mengeluarkan sekurang-kurangnya 13 mayat dari laut setakat awal pagi Isnin, manakala puluhan mangsa yang terselamat berjaya diselamatkan oleh unit Pengawal Pantai, kapal tentera laut dan bot nelayan berhampiran, kata pegawai.
Jumlah sebenar mangsa yang terselamat masih dalam proses pengesahan.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dengan pesawat serta aset laut dikerahkan untuk menyisir kawasan berkenaan di tengah-tengah keadaan laut yang bergelora.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa punca kejadian karam itu masih dalam siasatan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial