LOS ANGELES, 26 Jan (Bernama-Xinhua) -- Minnesota pada Ahad menolak syarat yang ditetapkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Pam Bondi untuk mengurangkan operasi imigresen persekutuan di negeri itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak susulan insiden tembakan maut kedua melibatkan ejen imigresen persekutuan, lapor Xinhua.
"Jawapan kepada permintaan Peguam Negara Bondi adalah tidak," kata Setiausaha Negeri Minnesota Steve Simon dalam satu kenyataan pada Ahad. Beliau menolak tuntutan Bondi yang mendakwa kononnya syarat-syarat tersebut merupakan "penyelesaian munasabah" dengan kerajaan persekutuan.
Dalam sepucuk surat yang dihantar pada Sabtu kepada Gabenor Minnesota Tim Walz, Bondi menggariskan tiga tuntutan: memberikan akses kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap senarai pendaftaran pemilih Minnesota, berkongsi rekod program kebajikan negeri dengan pihak berkuasa persekutuan, dan membatalkan dasar bandar perlindungan yang mengehadkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) AS.
Langkah-langkah ini akan "memulihkan kedaulatan undang-undang, menyokong pegawai ICE, dan menamatkan huru-hara di Minnesota," kata Bondi.
"Surat beliau adalah percubaan melampau untuk memaksa Minnesota menyerahkan data peribadi jutaan warganegara AS kepada kerajaan persekutuan, yang melanggar undang-undang negeri dan persekutuan," kata Simon dalam kenyataannya.
Kira-kira 3,000 ejen imigresen persekutuan telah dihantar ke bandar raya Minneapolis dan St. Paul di bawah Operasi Metro Surge, yang bermula pada Disember 2025.
Penempatan persekutuan itu kini melebihi jumlah gabungan pegawai polis bertauliah di kedua-dua bandar berkenaan.
Ejen Peronda Sempadan pada Sabtu menembak mati Alex Pretti, seorang jururawat unit rawatan rapi berusia 37 tahun di Minneapolis, menandakan insiden tembakan maut kedua oleh ejen imigresen persekutuan di Minnesota dalam tempoh kurang tiga minggu, sekali gus mencetuskan bantahan dan protes baharu terhadap operasi imigresen kerajaan persekutuan di negeri tersebut.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial