DUNIA > BERITA

Wilayah Syrdarya Uzbekistan Tarik Pelabur Malaysia Sebagai Pintu Masuk Ke Asia Tengah

26/01/2026 04:56 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Wilayah Syrdarya di Uzbekistan menampilkan wilayah itu sebagai pintu masuk strategik bagi pelabur dan perniagaan Malaysia yang ingin menembusi pasaran Asia Tengah dan Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

Gabenor Syrdarya Erkinjon Turdimov berkata wilayah itu mewujudkan ekosistem yang sangat kondusif untuk pelaburan langsung asing, disokong oleh Zon Ekonomi Bebas (ZEB) Syrdarya yang meliputi hampir 2,000 hektar.

Beliau berkata syarikat Malaysia yang beroperasi dalam zon tersebut akan menikmati insentif cukai dan kastam komprehensif, termasuk pengecualian cukai keuntungan, harta dan tanah untuk tempoh antara tiga hingga 10 tahun.

“Produk yang dikeluarkan di Uzbekistan dieksport ke negara CIS di bawah rejim perdagangan bebas hampir sepenuhnya.

“Pada masa sama, dalam rangka sistem GSP+, lebih 6,000 jenis barangan boleh dieksport ke Kesatuan Eropah tanpa duti kastam,” katanya dalam ucapan khas pada Forum Kerjasama Uzbekistan-Malaysia 2026: Do Business in Syrdarya dan sesi padanan perniagaan (B2B) di sini pada Isnin.

Forum itu diadakan sempena lawatan rasmi gabenor ke Malaysia, susulan momentum pertukaran diplomatik peringkat tinggi, termasuk lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan pada Mei 2024 dan lawatan negara Presiden Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada Februari 2025.

Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomidin Gadoev menyifatkan wilayah Syrdarya sebagai “Mini Malaysia” yang sedang muncul berikutan penglibatan aktif bakat dan syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor teknologi maklumat (IT).

“Syrdarya ialah antara wilayah termuda di Uzbekistan dan sebuah wilayah yang berkembang pesat,” katanya sambil menambah bahawa Menteri Teknologi Digital Uzbekistan Sherzod Shermatov turut menyatakan bahawa Syrdarya sedang menjadi ‘Mini Malaysia’ kerana kehadiran ramai warga Malaysia yang bekerja dalam sektor itu.

Gadoev berkata Uzbekistan menawarkan potensi besar yang belum diterokai oleh perniagaan Malaysia, didorong oleh pasaran pengguna terbesar di Asia Tengah yang mempunyai 38 juta penduduk serta ekonomi yang berkembang pesat.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Uzbekistan mencecah US$147 bilion pada 2025, merekodkan pertumbuhan 6.5 peratus, manakala pelaburan langsung asing meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh sembilan tahun untuk mencapai US$43 bilion.

“Kami mengalu-alukan syarikat dan rakan kongsi Malaysia untuk mengeksport buah-buahan terbaik Uzbekistan serta barangan keluaran tempatan ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Kedutaan bersedia mencari rakan tempatan yang sesuai bagi mempertimbangkan pelaksanaan projek pelaburan bersama di Uzbekistan, khususnya dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan, tenaga, sumber tenaga boleh diperbaharui hidro, IT dan penyumberan luar perniagaan, sektor farmaseutikal serta pengeluaran bahan binaan.

Timbalan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) S. Jai Shankar, yang turut berucap pada forum itu, berkata perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kini berada dalam “era keemasan”.

Beliau berkata perdagangan Malaysia-Uzbekistan meningkat 16.3 peratus pada 2025 kepada US$109.9 juta.

“Syrdarya mewakili sempadan baharu untuk pengembangan, bukan sahaja ke Uzbekistan tetapi ke seluruh Asia Tengah. Kami menggesa syarikat Malaysia, khususnya syarikat bersaiz sederhana, untuk meneroka insentif dan peluang yang ditawarkan,” kata Jai Shankar.

Beliau menambah bahawa sebagaimana Uzbekistan melihat Malaysia sebagai rakan berharga untuk dijadikan pintu masuk ke ASEAN, perniagaan Malaysia juga wajar menggunakan Uzbekistan sebagai pintu masuk ke Asia Tengah.

Forum itu diakhiri dengan sesi padanan perniagaan (B2B) bagi memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, logistik, pelancongan dan pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan