DUNIA > BERITA

EU Kecam Pelanggaran Gencatan Senjata Berulang Kali Oleh Israel Di Gaza

02/02/2026 01:25 PM

ISTANBUL, 2 Feb (Bernama-Anadolu) -- Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad mengecam pelanggaran gencatan senjata yang dilakukan secara berulang kali oleh Israel di Gaza dan menggesa agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi.

Pesuruhjaya Eropah bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Hadja Lahbib, mengecam tindakan Israel yang terus melakukan serangan di Semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

"Kami mengecam pelanggaran gencatan senjata yang berulang kali di Gaza, dengan ratusan rakyat Palestin terbunuh dan cedera akibat serangan Israel sepanjang hujung minggu ini," kata Lahbib dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi platform media sosial X.

Lahbib menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dipertahankan dan orang awam perlu dilindungi di mana sahaja, pada setiap masa.

Menurut pejabat media Gaza, walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan, Israel tetap meneruskan serangan yang telah mengorbankan 524 orang dan mencederakan 1,360 yang lain sejak 10 Okt 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan