DUNIA > BERITA

Mesir Sekat Secara Rasmi Permainan Dalam Talian Kanak-Kanak Roblox

02/02/2026 03:48 PM

ISTANBUL, 2 Feb (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Mesir telah menyekat secara rasmi platform permainan dalam talian Roblox, atas kebimbangan terhadap kandungan yang didakwa mempromosikan tingkah laku berbahaya dalam kalangan kanak-kanak, lapor  Anadolu Ajansi  yang memetik akhbar tempatan.

Timbalan Ketua Majlis Tertinggi Kawal Selia Media, Essam al-Amir berkata keputusan telah dikeluarkan untuk menyekat permainan elektronik popular itu, yang dikenali secara meluas dalam kalangan pengguna muda sebagai Roblox.

Beliau berkata demikian semasa sesi Dewan Senat yang diadakan bagi membincangkan risiko berkaitan penggunaan telefon bimbit dan aplikasi digital oleh kanak-kanak, menurut akhbar Youm7.

Majlis itu telah mengesyorkan tindakan diambil untuk menyekat laman sesawang yang mempromosikan "tingkah laku menyimpang atau memudahkan penyebarannya," serta platform yang menyiarkan permainan elektronik yang menggalakkan keganasan, kata al-Amir.

Beliau berkata majlis itu sedang menyelaraskan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi Kebangsaan untuk melaksanakan langkah teknikal yang diperlukan bagi menguatkuasakan larangan berkenaan.

Langkah yang diambil oleh Mesir itu menyusuli tindakan serupa di rantau berkenaan. Pada September dan Ogos 2025, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Oman telah mengenakan sekatan terhadap Roblox selepas amaran mengenai risiko berpotensi kepada kanak-kanak.

Di peringkat antarabangsa, Roblox telah menghadapi penelitian yang semakin meningkat. Pada Ogos 2025, negeri Louisiana di Amerika Syarikat telah memfailkan saman terhadap Roblox, dengan menuduh syarikat itu memudah cara eksploitasi kanak-kanak. Menurut laporan BBC, Roblox menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai "palsu".

Roblox merupakan platform permainan interaktif percuma yang dicipta hampir dua dekad lepas dan menjadi sangat popular dalam kalangan kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan