DUNIA > BERITA

Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum Terima Penerbangan Komersial Pertama Dalam Tempoh Tiga Tahun

02/02/2026 05:23 PM

KHARTOUM, 2 Feb (Bernama-Xinhua) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum menerima penerbangan penumpang komersial pertamanya dalam tempoh hampir tiga tahun pada Ahad, menandakan langkah utama ke arah pembukaan semula lapangan terbang itu dan memulihkan perjalanan udara ke ibu negara Sudan selepas penutupan yang berpanjangan, lapor Xinhua memetik kenyataan pegawai.

Pesawat kendalian Sudan Airways yang membawa 160 penumpang itu tiba dari Port Sudan di timur negara berkenaan, kata Pengarah Operasi Keselamatan Penerbangan lapangan terbang itu, Mohamed Jaafar Hassan.

Ketua Pengarah Syarikat Lapangan Terbang Sudan, Sir Al-Khatim Babiker Al-Tayeb, dalam satu kenyataan berkata lapangan terbang itu telah menyambung semula operasi dengan kapasiti mencukupi bagi fasa semasa dan mampu mengendalikan sehingga empat pesawat secara serentak.

Al-Tayeb berkata penyambungan semula penerbangan domestik merupakan peringkat pertama pelan pembukaan semula secara beransur-ansur, dengan persediaan teknikal dan pentadbiran sedang giat dijalankan bagi membolehkan kepulangan penerbangan serantau serta antarabangsa dalam tempoh terdekat.

Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum mengalami kerosakan teruk semasa konflik berterusan di Sudan dan merupakan antara lokasi pertama yang diserang oleh pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) apabila pertempuran meletus pada 2023.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk memulihkan operasi lapangan terbang selepas Angkatan Tentera Sudan (SAF) memperoleh semula kawalan penuh ke atas negeri Khartoum pada Mei tahun lepas.

Buat masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Port Sudan kekal sebagai satu-satunya hab negara bagi penerbangan antarabangsa, manakala beberapa lapangan terbang domestik lain beroperasi secara terhad.

Sejak pertengahan April 2023, pertempuran antara SAF dan RSF telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk terpaksa berpindah  sama ada di dalam mahupun ke luar Sudan.

--BERNAMA-XINHUA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan