BANGKOK, 8 Feb (Bernama) -- Keputusan tidak rasmi bagi pilihan raya umum (PRU) dan referendum Thailand dijangka diketahui pada lewat Ahad, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT).
Setiausaha Agung ECT Sawaeng Boonmee berkata pusat pengundian di seluruh negara akan ditutup pada 5 petang waktu tempatan, dengan keputusan tidak rasmi pertama dijangka diterima bermula kira-kira 6 petang.
“Undi akan diterima secara progresif dan menjelang sekitar 10 hingga 11 malam, gambaran keseluruhan dijangka menjadi agak jelas,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Beliau berkata proses pengundian berjalan lancar sepanjang pagi Ahad, manakala peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dijangka pada sebelah petang.
Kira-kira 52.9 juta pengundi layak untuk memilih 500 ahli Dewan Perwakilan serta mengundi dalam referendum mengenai penggubalan perlembagaan baharu.
Sementara itu, media Thailand melaporkan bahawa Perdana Menteri sementara Anutin Charnvirakul telah menunaikan tanggungjawab mengundi di wilayah Buri Ram, kubu kuat Parti Bhumjaithai pimpinannya, manakala beberapa pemimpin parti lain mengundi di Bangkok.
Pemimpin People’s Party Natthaphong Ruengpanyawut, Ketua Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva dan calon perdana menteri Pheu Thai Yodchanan Wongsawat dilaporkan antara pengundi awal di kawasan pilihan raya masing-masing selepas pusat pengundian dibuka di seluruh negara pada 8 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial