DUNIA > BERITA

BNP Akan Tuntut Ekstradisi Sheikh Hasina Dari India

14/02/2026 09:50 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 14 Feb (Bernama) -- Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya umum pada Khamis, akan menuntut ekstradisi bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina dari India, menurut seorang pemimpin kanan parti itu pada Jumaat.

“Kami akan mendesak ekstradisi beliau mengikut lunas undang-undang. Ia adalah perkara antara Kementerian Luar Bangladesh dan Kementerian Luar India. Kami akan menggesa Kerajaan India untuk menghantar beliau pulang bagi menghadapi perbicaraan,” kata Ahli Jawatankuasa Tetap BNP, Salahuddin Ahmed seperti yang dipetik dalam laporan media tempatan.

Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh pada November telah menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina, 78, secara “in absentia” atau tanpa kehadiran tertuduh atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Beliau telah menetap di India sejak meletakkan jawatan berikutan kebangkitan rakyat terhadap pemerintahannya pada Ogos 2024.

Ramai tokoh utama dalam rejim Liga Awami  telah melarikan diri ke luar negara tetapi berdepan tuduhan serius, termasuk pembunuhan dan rasuah di mahkamah Bangladesh.

Kerajaan interim yang diketuai oleh Ketua Penasihat Muhammad Yunus sebelum ini telah cuba membawa pulang Hasina dari India.

BNP yang diketuai oleh Tarique Rahman, anak kepada bekas Perdana Menteri Begum Khaleda Zia, bersedia untuk membentuk kerajaan baharu selepas memenangi 209 kerusi dalam Jatiya Sangsad yang mempunyai 300 ahli.

Persaingan utama adalah antara BNP dan Jamaat-e-Islami.

Kedua-dua parti berkenaan berdepan pelbagai penindasan semasa pemerintahan panjang Hasina yang pro-India dan pernah menjadi sekutu dalam perjuangan mereka.

Jamaat memenangi 68 kerusi, manakala sembilan kerusi dimenangi oleh sekutu pilihannya, termasuk Parti Warganegara Nasional (NCP) pimpinan belia yang diketuai oleh Nahid Islam, seorang pemimpin utama dalam protes anti-Hasina.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan